SALAM GAYONG, SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT BERBUKA. SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR & BATIN.

Salasilah Pewaris Gayong

Darah yang mengalir di dalam batang tubuh Meor Abdul Rahman adalah darah Bugis yang diwarisi daripada Daing Kuning, seorang pendekar terbilang pada penghujung abad ke-18. Daing Kuning atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah seorang daripada tujuh beradik anak raja Bugis berasal dari Makasar, Sulawesi, yang sangat-sangat ditakuti dan dihormati di seluruh Makasar, Riau, Siak dan juga pulau-pulau Melayu yang berhampiran, kerana kegagahan dan keperkasaan mereka yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Ketujuh-tujuh beradik ini, Daing Jalak, Daing Celak, Daing Merawak, Daing Mempawah, Daing Telani, Daing Pelangi dan Daing Kuning telah belayar meninggalkan tanah Bugis untuk mencari tapak penghidupan baru. Mereka telah menjelajah ke serata kepulauan Melayu bagi mencari kawasan penempatan yang sesuai menurut firasat masing-masing.

Dalam tahun 1813, anak-anak Raja Bugis ini telah mendarat di Kuala Larut. Tempat persinggahan mereka dikenali sebagai Pangkalan Alur atau Relur Tujuh (kini dikenali sebagai Ayer Kuning). Hanya Daing Kuning yang terus menetap di Relur Tujuh dan bertapa di situ(gua tempat pertapaan Daing Kuning masih lagi wujud dan terletak di Bukit Larut). Saudara-saudara Daing Kuning yang lain telah meneruskan pelayaran dan berpecah ke seluruh Tanah Melayu, mengikut firasat masing-masing. Daing Kuning terkenal dengan kemahirannya bermain senjata sundang lipas. Kedatangan orang-orang Bugis ke Tanah Melayu ini telah memperkuatkan struktur kesultanan Melayu. Melalui bantuan kuasa Bugis, ketuanan raja-raja Melayu telah dapat dinobatkan kembali.

Daing Kuning meninggal dunia pada tahun 1875 di Taiping, Perak. Daing Kuning telah berkahwin dengan seorang puteri Raja Pattani dan dikurniakan seorang putera yang kemudiannya dikenali dengan panggilan Penghulu Che’ Ngah Tambah. Penghulu Che Ngah Tambah ialah orang yang membuka daerah Matang dan telah dilantik oleh Sultan Perak sebagai salah seorang Orang Besar Lapan.

Penghulu Che’ Ngah Tambah pula telah mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Uda Mohd. Hashim. Uda Mohd. Hashim (seorang arkitek) kemudiannya mendirikan rumahtangga dengan Sharifah Aluyah binti Syed Zainal Al-Attas dan dikurniakan dua orang putera. Salah seorang puteranya, Meor Abdul Rahman dilahirkan pada 21 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden,Taiping.

Syed Zainal Al-Attas ialah seorang hulubalang di Pahang yang terkenal dengan semangat penentangan penjajah serta ilmu persilatan yang tinggi. Beliau adalah sahabat karib pahlawan Mat Kilau dan Dato’ Bahaman, dan pernah menjadi penghulu di Pekan, Pahang (di bawah pentadbiran Tok Gajah).